Tiga golongan layak jadi penghuni syurga
SESEORANG yang beriman belum tentu ia seorang bertakwa tetapi jika seseorang itu bertakwa, sudah tentu ia orang yang beriman. Dalam al-Quran, Allah menggesa orang yang beriman supaya bertakwa kepada Allah dengan sebenar-benar takwa.Firman Allah yang bermaksud:
“Wahai orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan sebagai Muslim.†– (Surah ali-Imran, ayat 102)Ayat ini menjelaskan tidak semua orang yang beriman itu benar-benar bertakwa hinggakan Allah menegur mereka supaya menjadi orang yang bertakwa dengan melakukan amal salih. Mereka yang sudah beriman, beramal salih dan bertakwa disediakan Allah ganjaran syurga.
Ketahuilah bahawa dalam syurga terdapat nikmat yang tidak pernah terlintas oleh mata, telinga dan hati manusia. Inilah kebesaran Allah terhadap hamba-Nya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Untuk hamba-Ku yang salih, Aku sediakan kesenangan yang tidak pernah terlintas oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga dan tidak pernah sedikitpun terlintas dalam hati manusia.“– (Hadis riwayat Imam Ahmad, Tirmizi dan Ibn Majah)Inilah kehebatan Allah dalam menyediakan ganjaran kepada hamba-Nya yang melakukan kebaikan.
Melalui hadis itu dapat difahami bahawa, Allah memberitahu kepada hamba-Nya mengenai nikmat dan kesenangan yang akan diberikan kepada hamba-Nya yang salih. Bermacam corak ragam serta bentuk nikmat kesenangan yang disediakan itu menandakan keagungan dan kebesaran-Nya.
Nikmat itu sebenarnya tidak dapat digambarkan atau dilukiskan dengan tepat seperti adanya, kerana ia bersifat kekal abadi, tidak luntur dan lusuh, jauh sekali daripada menjadi buruk atau seumpamanya yang membawa kepada kehancuran. Inilah nikmat yang perlu direbut manusia.
Pengikut dan ikutan: antara tuah dan padah
SAYA percaya setiap pengikut dan yang diikuti akan tersedu dan merenung panjang mengenang kemuncak masa hadapan iaitu hari akhirat apabila membaca firman Allah dalam al-Quran:(maksudnya) Ketika mereka yang menjadi ikutan itu berlepas diri daripada mereka yang mengikutnya (para pengikut), dan mereka semua melihat azab (keperitannya), dan terputuslah segala hubungan di antara mereka. Dan (pada masa yang mengecewakan itu) berkatalah mereka yang menjadi pengikut: seandainya kami mempunyai ulangan (peluang kembali ke dunia) maka kami akan berlepas diri daripada mereka seperti mana mereka berlepas diri daripada kami (pada saat ini)! Demikianlah Allah perlihatkan kepada mereka amalan-amalan mereka menjadi penyesalan kepada mereka, dan mereka pula tidak akan dapat keluar dari neraka (surah al-Baqarah: 166-167).Begitulah gambaran yang Allah nyatakan tentang salah satu suasana hari pembalasan. Ramai yang menjadi ikutan atau yang mengumpul pengikut akan berlepas diri daripada para pengikut mereka kerana ketakutan yang amat sangat melihat azab Allah yang disediakan disebabkan dosa dan kezaliman yang dilakukan bersama dalam episod ‘mengikut pemimpin’ di dunia ini. Demikian para pengikut akan benar-benar menyesal kerana mengikut mereka yang membawa kepada dosa, kezaliman dan penyelewengan, lalu mengimpikan jika mereka diberi peluang sekali lagi dalam kehidupan dunia, bagi membolehkan mereka berlepas diri terlebih dahulu agar tidak mengikut ikutan yang seperti itu yang hanya membawa penyesalan di hadapan Allah.
Ayat al-Quran tersebut merangkumi segala jenis ikutan antara pemimpin dan pengikut sama ada dalam kefahaman agama, politik dan segalanya yang membawa penderhakaan kepada ajaran Allah dan Rasul-Nya. Bukan semua pemimpin yang dipuja pengikut mereka – dalam apa aliran sekalipun, akan terus dipuja pada hari kiamat. Bahkan, entah berapa ramai para pemimpin atau mereka yang menjadi ikutan akan menolak dan menafikan pengikut mereka kelak. Demikian juga para pengikut, akan menyesal kerana menjadi pengikut. Walaupun pada hari ini ramai pemimpin yang ingin cari pengikut dan berbangga dengan para pengikut mereka lalu memberi jaminan yang pelbagai. Sementara ramai pula yang suka mendakwa kononnya menjadi pengikut setia sampai bila-bila. Namun di hari pembalasan ramai pemimpin dan pengikut yang berlepas diri dan memusuhi antara satu sama lain. Inilah yang akan berlaku jika kita mengikut seseorang tanpa menilai tindakan yang dilakukan. Tidak merenung sejauh mana keselarasan tindakan orang yang menjadi ikutan kita dengan kebenaran yang diputuskan oleh wahyu menerusi al-Quran dan sunah. Maka janganlah taksub atau terlalu berbangga dengan ikutan kita sehingga tidak mengguna akal untuk berfikir.
Mengingati kiamat bangkit keinsafan
AL-QURAN adalah kitab dan mukjizat paling indah. Keindahannya bukan sekadar untuk diperdengarkan bacaannya tetapi diambil perhatian mengenai peringatan dan ancaman yang dijelaskan dalam ayatnya sebagai menambahkan ketaatan manusia kepada Allah pencipta semesta alam.Allah berfirman yang bermaksud:
“Apabila matahari digulung dan bintang berjatuhan dan apabila gunung dihancurkan dan unta yang bunting ditinggalkan tidak dipedulikan dan apabila binatang liar dikumpulkan dan lautan dijadikan meluap dan apabila roh dipertemukan dengan tubuh, bayi perempuan dikuburkan hidup-hidup ditanya kerana dosa apakah ia dibunuh, dan apabila catatan amal perbuatan manusia dibuka dan langit dilenyapkan dan apabila api neraka jahim dinyalakan dan syurga didekatkan, maka setiap jiwa akan mengetahui apa yang sudah dikerjakannya, sesungguhnya Aku bersumpah dengan bintang yang beredar dan terbenam demi malam apabila sudah hampir meninggalkan gelap dan demi subuh apabila fajarnya mula menyingsing, sesungguhnya al-Quran itu benar-benar firman Allah yang dibawa oleh utusan mulia yang mempunyai kekuatan, kedudukan tinggi di sisi Allah yang mempunyai arsy ditaati lagi dipercayai.” (Surah at-Takwir, ayat 1-21)Rasa takut dan cemas terbayang menekan kita. Ketakutan meliputi seluruh alam dan mencemaskan jiwa serta menggoncang dada. Malah, ketakutan mencengkam seluruh bumi dan langit yang digerakkan lagi oleh ketakutan dan digentarkan pula oleh firman-Nya.
Allah berfirman yang bermaksud:
“Apabila terjadi hari khiamat, tidak seorang pun dapat berdusta mengenai kejadiannya. Kejadian itu merendahkan satu golongan dan meninggikan golongan yang lain. Apabila bumi digoncang sedasyatnya dan gunung dihancur luluhkan sehancurnya, maka jadilah debu yang berterbangan.” (Sural al-Waqiah, ayat 1-6)Pada saat lain, ketakutan itu terlintas dalam bayangan dan bergoncang perasaan. Semua itu sebagai peringatan kepada kita untuk menambah ketaatan dan ketakwaan.
Firman Allah yang bermaksud:
“Hai manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu, sesungguhnya kegoncangan hari kiamat itu adalah suatu kejadian yang besar dan dasyat. Ingatlah pada hari ketika kamu melihat kegoncangan itu, lalailah semua wanita yang menyusui anaknya. Dan gugurlah kandungan semua wanita yang hamil, dan kamu lihat manusia dalam keadaan mabuk, padahal sebenarnya mereka tidak mabuk akan tetapi azab Allah itu sangat kerasnya.” (Surah al-Hajj, ayat 1-2)Demikian gambaran demi gambaran yang ditampilkan Allah mengenai pemandangan hari kiamat. Sesekali perasaan takut merasuk ke jiwa dan pada saat lain berasakan kemantapan dan ketenangan.
Sesekali terbayang api neraka yang membakar dan sesekali pula hembusan sejuk angin syurga menerpa, lantaran itu pengenalan terhadap alam akhirat menjadi penting dan sempurna sebelum hari yang dijanjikan itu tiba.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar